Exchange Money Trading

Senin, 27 Oktober 2008

Ballad Zulu, Artis Yang Memiliki Banyak Kebolehan

Ballad Zulu ialah seorang penyanyi kelahiran negara Zambia. Beliau pandai bermain pelbagai alat muzik, beliau juga seorang komposer lagu di samping seorang ahli ekonomi. Walaupun beliau dianggap seorang artis yang sangat berbakat dan memiliki hasil kerja yang asli, beliau sering tidak konsisten dalam kerjayanya sebagai seorang ahli muzik. Ballad Zulu seringkali menyepikan diri dalam tempoh yang lama.




Ballad Zulu ialah seorang penyanyi kelahiran negara Zambia. Beliau pandai bermain pelbagai alat muzik, beliau juga seorang komposer lagu di samping seorang ahli ekonomi. Walaupun beliau dianggap seorang artis yang sangat berbakat dan memiliki hasil kerja yang asli, beliau sering tidak konsisten dalam kerjayanya sebagai seorang ahli muzik. Ballad Zulu seringkali menyepikan diri dalam tempoh yang lama.

Disebabkan oleh sifatnya itu, beliau telah membentuk reputasi sebagai artis yang jarang bergaul, jarang ditemu bual dan jarang membuat persembahan secara langsung. Gaya muziknya dihuraikan oleh Surat Khabar Post keluaran Ogos 2005 sebagai gabungan muzik tradisional Zambia, pop, rentak Afro dan setempat.
Lagunya yang pernah menjadi hit termasuklah lagu yang bertajuk “Cook On (Woman of Truth)” keluaran tahun 1990, lagu “Welako” keluaran tahun 1994, lagu “Step Mother” keluaran tahun 2002, dan lagu “Tipange Banja” keluaran tahun 2005.

Menurut Surat Khabar Times of Zambia keluaran 11 Januari 2008, Album terbaru Ballad Zulu yang berjudul “Experience” telah dilancarkan pada 10 Januari 2008 yang lalu.

Laetitia Zonzambe, Bintang Muzik Pop Terkenal Republik Afrika Tengah

Di negara Republik Afrika Tengah, nama Laetitia Zonzambe atau Laetitia Zonzambé memang tidak asing lagi. Penyanyi muzik pop ini dianggap sebagai penyanyi muzik pop terbaik di dalam negara itu.

Kejayaannya dalam bidang muzik banyak dibantu dan disokong oleh pertubuhan Alliance Française iaitu sebuah pertubuhan berpusat di Perancis dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Lagu dan muzik penyanyi ini adalah berasaskan gabungan elemen tradisional Afrika, Eropah dan Caribbean. Keunikan gabungan muzik beliau telah menarik minat ramai peminatnya di Afrika dan di luar negara terutamanya rakyat Afrika di Perancis.

Karen Zoid, Artis Rock Afrika Yang Berprestij

Karen Zoid atau nama sebenarnya Karen Louise Greeff ialah seorang artis rock wanita kelahiran Afrika Selatan yang memiliki bakat yang besar dari segi vokal dan bermain gitar. Beliau telah menghasilkan lebih 42 buah lagu dalam 3 buah album yang berbeza di mana 23 buah lagu adalah dalam bahasa Inggeris dan 19 buah lagu lagi adalah dalam bahasa Afrika. Beliau telah berjaya bertukar daripada seorang remaja jalanan di Johannesburg ke seorang pemenang anugerah terkenal.

Beliau memiliki kumpulan kugiran (band) yang terdiri daripada pemain gitar utama, Don Reinecke yang juga membantu mencipta lagu untuk beliau, Rixi Roman sebagai pemain gitar bass dan Marlon Green sebagai pemain dram. Pada tahun 2004, Karen Zoid telah berkahwin dengan pemain gitarnya sendiri iaitu Don Reinecke dan pada 29 Januari 2007, pasangan ini dikurniakan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ben Francis Reinecke

Karen Zoid telah dilahirkan pada 10 Ogos 1978 di Brussels, Belgium dan beliau merupakan anak kepada seorang diplomat Afrika Selatan. Beliau telah dibesarkan di Johannesburg, Afrika Selatan.

Album pertamanya iaitu yang berjudul Poles Apart telah dikeluarkan oleh syarikat muzik EMI pada Jun 2001. Album pertama beliau ini sangat berjaya di pasaran terutamanya dalam kalangan muda-mudi Afrika Selatan. Malah, media massa di Afrika Selatan telah merujuk beliau sebagai pencipta Generasi Zoid (Zoid Generation). Pada tahun 2004, status ikon yang dimilikinya telah mendapat pengiktirafan daripada Majalah Time dan Laporan Dunia & Berita Amerika Syarikat (Time Magazine and U.S. News & World Report). Pada tahun 2002 pula, beliau telah dicalonkan sebagai finalis Anugerah Wanita Afrika Selatan Tahunan (South African Woman of the Year).

Pada Jun 2003, syarikat rakaman muzik EMI telah melancarkan album kedua beliau yang berjudul Chasing The Sun. Pada Julai 2005 pula, EMI telah melancarkan album ketiga beliau yang berjudul Media. Kesemua album yang dihasilkan oleh Karen Zoid telah mendapat status Emas (Gold Record).

Lagu Karen Zoid telah secara konsisten diputarkan di corong-corong radio tempatan dan kebanyakan lagu beliau mempunyai peminat dari semua bangsa tanpa mengira latar belakang bahasa, budaya dan etnik. CD lagu beliau telah dijadikan muzik hiburan untuk penerbangan antarabangsa dari dan ke Afrika Selatan. Beliau telah menulis muzik untuk televisyen dan dua buah lagu miliknya telah dijadikan lagu latar dalam filem 2006 yang berjudul Number 10.

Status Karen Zoid sebagai ikon muzik yang merentas batas budaya telah menyebabkan beliau dan kumpulan beliau terpilih untuk membuat persembahan di majlis rasmi Presiden Negeri Mbeki. Beliau dan kumpulan beliau juga turut membuat persembahan di Konsert 46664 Nelson Mandela di mana beliau telah berkongsi pentas yang sama dengan Ratu dan Katie Melua. Karen Zoid bersama kumpulan beliau telah membuat beberapa persembahan di London beberapa tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2006, mereka telah membuat persembahan sekali lagi di kota London di samping membuat persembahan di Kanada dan di Festival Irama Padang Pasir Dubai (Dubai Desert Rhythm Festival) di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

Lagu Karen Zoid, sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Afrika dianggap sebagai suatu puisi. Malah, lagu-lagu beliau telah dijadikan sebagai kurikulum universiti untuk pelajar tahun pertama di beberapa buah universiti di Afrika. Sebagai contoh, dalam kursus AFR 164 di Universiti Pretoria. Pada tahun 2004, wajah beliau telah dijadikan gambar poster dan dijemput untuk menjadi jurucakap di persidangan Puisi Antarabangsa (International Poetry Conference) di Cape Town, Afrika Selatan.

Karen Zoid baru-baru ini telah berpindah syarikat rakaman dari EMI ke Just Music. Pada 2 Ogos 2007, beliau telah melancarkan album keempat yang berjudul Postmodern World.

Charity Zisengwe, Penyanyi Gospel Yang Disegani

Charity Zisengwe merupakan seorang penyanyi muzik gospel, seorang penulis lagu dan juga seorang jurucakap. Charity dilahirkan dan dibesarkan di Zimbabwe. Kedua-dua ibu bapa beliau merupakan orang kuat agama Kristian dan mereka merupakan pemimpin gereja Kristian di kawasan mereka.

Charity Zisengwe bersekolah di Sekolah Tinggi Murewa (Murewa High School). Semasa tahun ketiga persekolahannya, beliau dan dua rakan satu dorm dengannya iaitu Rhoda Chani dan Kezzie Ndori telah menubuhkan kumpulan muzik mereka sendiri. Selepas beberapa lama, terdapat ramai pelajar lain yang turut berminat untuk menyertai mereka dan akhirnya kumpulan ini telah membentuk sebuah kumpulan koir besar yang mempunyai ahli sebanyak 50 orang pelajar.

Pada tahun 2003, Charity mula menulis dan menyanyikan lagunya sendiri. Beliau telah pergi ke syarikat rakaman muzik Jeffrey B Rogers Music & Creative Services untuk merakam lagu pertamanya. Di sana, beliau hanya bergantung kepada suara dan liriknya sahaja tanpa dibantu penyanyi latar. Syarikat rakaman ini akhirnya mengeluarkan album beliau. Semasa di sana, Charity telah merekodkan suara beliau dengan tiga rentak harmoni yang berbeza-beza.

Pada tahun 2006, salah satu lagu beliau yang berjudul There Is A Way telah berjaya memenangi tempat pertama dalam pertandingan menulis lagu di The Babbie Mason Music. Kejayaannya itu telah membolehkan beliau berkongsi pentas yang sama dengan penyanyi gospel antarabangsa yang lain dan juga dengan mentor beliau iaitu Babbie Mason.

Charity Zisengwe yang pada masa ini menetap di sebuah kawasan luar bandar di Atlanta, Georgia telah menghasilkan dua buah album iaitu dalam bentuk dua versi yang berbeza. Versi pertama ialah yang berjudul Charity Zisengwe iaitu nyanyian tanpa muzik dan versi yang kedua ialah yang berjudul Charity Zisengwe tetapi dengan iringan muzik. Kedua-dua album ini dikeluarkan dalam bentuk CD oleh syarikat rakaman muzik Jeffrey B Rogers Music pada tahun 2007.

Yemane Baria, Artis, Ahli Politik dan Pejuang Kemerdekaan

Yemane Ghebremichael atau lebih dikenali sebagai Yemane Baria ialah seorang penulis lagu, komposer dan penyanyi kelahiran negara Eritrea. Beliau tidak hanya terlibat dalam dunia seni semata-mata tetapi turut terlibat dalam dunia politik. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1997.

Lagu-lagu ciptaan beliau menggambarkan pemikiran beliau mengenai keadaan peperangan semasa era perang menuntut kemerdekaan negara Eritrea. Lagu-lagu beliau banyak berkisar mengenai kisah cinta, pengembaraan, harapan, imigrasi dan kebebasan.

Beberapa tahun selepas selepas pengisytiharan kemerdekaan negara Eritrea, Yemane telah berpindah ke ibu kota negara itu iaitu di Asmara. Di sana beliau menyambung usaha beliau untuk menerbitkan album baru yang menggambarkan era baru negara Eritrea selepas mendapat kemerdekaan. Lagu-lagu dalam album ini adalah gabungan rentak Afrika dan Latin. Di samping itu, beliau juga menyanyi mengenai mereka yang telah terlibat dalam gerakan menuntut kemerdekaan dan pengorbanan gerakan itu terhadap negara Eritrea.

Yemane juga dikenali sebagai “Penjaga Rakyat Eritrea” kerana reputasinya sebagai seorang yang dermawan, suka merendah diri dan kesanggupannya berkongsi tempat dengan rakyat Eritrea. Beliau juga amat terkenal dengan usahanya menolong warga negara Eritrea yang tinggal di Sudan untuk berpindah ke negara-negara lain atas sebab keselamatan seperti di negara timur tengah, Amerika dan Eropah. Beliau juga turut dikenali dengan kemahirannya dalam bidang kesenian dan penguasaan bahasa “Tigrinya” yang baik, iaitu bahasa utama rakyat negara beliau.

Antara album yang pernah dihasilkan beliau termasuklah yang berjudul Zemen, Meskerem, Nasenet, Delay Selam, Aykonen Oromay, Wegihaya Meriet, Mesob Ade.

Tidak ada komentar: