Exchange Money Trading

Senin, 27 Oktober 2008

Danny Wallams

Siapakah Artis Yang Bernama Danny Williams?

Danny Williams merupakan seorang penyanyi muzik popular yang dilahirkan di Port Elizabeth, Eastern Cape, di Afrika Selatan. Williams telah memenangi pertandingan mencari bakat sewaktu berumur 14 tahun. Selepas itu beliau telah menyertai kumpulan yang memenangi pentandingan mencari bakat itu menjelajah ke seluruh tempat di Afrika Selatan untuk membuat persembahan. Pada tahun 1959, kumpulan itu pergi ke London untuk membuat persembahan di sana. Semasa di sana, Williams telah menarik perhatian ejen syarikat rakaman EMI. Beliau akhirnya menyertai syarikat rakaman itu dan merakamkan lagunya di sana.



Beliau telah menghabiskan kebanyakan masanya di United Kingdom. Pada mulanya, lagu nyanyian beliau tidaklah terlalu diminati sebelum semua itu berubah pada tahun 1961 di mana sebuah lagu genre balada yang berjudul Moon River nyanyian beliau telah menjadi hit. Sehingga ke hari ini, lagu tersebut kekal menjadi lagu beliau yang paling berjaya. Kejayaan lagu beliau ini telah membolehkan beliau mendapat tawaran untuk berlakon dalam sebuah filem tentang kumpulan rock yang berjudul Play It Cool arahan Michael Winner pada tahun 1962. Filem ini juga telah menjadikan Billy Fury sebagai pelakon utamanya.

Setahun kemudian, iaitu pada tahun 1963 Williams telah menyertai program jelajah ke 20 buah bandaraya yang turut disertai oleh kumpulan The Beatles. Beliau seperti juga penyanyi balada hari ini, telah mula dilupakan secara perlahan-lahan.

Pada hari ini, Williams sudah tidak mempunyai lagu-lagu yang hit lagi. Walaupun lagu beliau yang bertajuk White On White menjadi popular di luar United Kingdom dan merupakan satu-satunya lagu yang berjaya menduduki carta 10 lagu terbaik di Amerika Syarikat pada tahun 1964, kerjaya seni beliau tetap tidak sama seperti pada zaman kegemilangannya dahulu.

Pada tahun 1968, beliau telah mendapat serangan gangguan tekanan mental yang serius lalu diisytihar sebagai muflis dua tahun kemudian. Walau bagaimanapun, beliau kembali menyambung kerjaya beliau dalam bidang nyanyian pada awal tahun 1970-an. Lagu terbaru beliau yang bertajuk Dancin’ Easy yang dihasilkan pada tahun 1977, telah berjaya mendapat kedudukan 30 lagu terbaik.

Pada awal tahun 1990-an, beliau telah merakamkan lagu beliau yang seterusnya di syarikat rakaman Prestige. Beliau seterusnya membintangi “Nat King Cole” iaitu sebuah persembahan penghargaan (tribute show) yang telah melakukan beberapa jelajah di United Kingdom. Beberapa tahun yang lalu, semua lagu daripada album-albumnya termasuklah lagu yang bertajuk Moon River telah dikompilasikan bersama dalam sebuah CD.

Danny Williams telah berkahwin sebanyak tiga kali. Beliau telah meninggal dunia pada Disember 2005 kerana menghidap barah paru-paru. Beliau telah meninggalkan isteri terakhirnya iaitu Daniella, dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Anak lelaki beliau iaitu Anthony Barclay ialah seorang aktor.

Victor Kachaka, Peguam dan Penyanyi

Victor Kachaka ialah seorang ahli muzik tradisional, pemain gitar dan peguam dari Lusaka, Zambia. Victor menjadi popular selepas merakamkan lagunya yang bertajuk It Is True iaitu sebuah lagu genre baru semasa awal 1990-an. Beliau seterusnya menghasilkan lagu keduanya yang juga merupakan berbentuk genre baru yang bertajuk Beer Man.

Lagu Victor dapat dikategorikan sebagai muzik tempatan rakyat Zambia di samping mempunyai campuran unsur tradisional muzik Zambia dan muzik barat. Seorang wartawan telah menghuraikan muzik beliau sebagai muzik yang banyak dipengaruhi oleh Bob Dylan berbanding ahli muzik rap. Bercakap tentang Bob Dylan, Victor berkata: “Di Afrika, kami percaya kepada penceritaan cerita, jadi saya tertarik dengan gaya penceritaan cerita ini. Walaupun saya menyampaikan cerita saya dalam bahasa Inggeris yang melucukan, tetapi lagu-lagu saya adalah berasaskan isu-isu sosial.” Victor lebih menyukai penggunaan satira (sindiran) dan komedi untuk menyedarkan masyarakat.

Beliau yang juga seorang peguam kerajaan tetapi pada masa yang sama ialah seorang penyanyi dan penulis lagu terkenal bukanlah seorang rakyat Zambia yang biasa. Semasa di dalam mahkamah, beliau akan bertutur menggunakan bahasa Inggeris Ratu (Queen’s English). Tetapi di dalam lagunya, beliau lebih suka menggunakan bahasa Inggeris tempatan Zambia di mana guru sekolah melarang kanak-kanak daripada menggunakannya. Beliau berkata yang beliau tidak mempunyai masalah untuk menggabungkan peranannya yang berbagai-bagai.

Kata-kata beliau:

Lagu saya adalah sangat berbeza daripada karekter diri saya yang sebenar. Saya seorang yang sangat serius dan seorang peguam yang serius. Tetapi bila saya berada di atas pentas, karekter saya adalah berlawanan.

Saya mungkin bergurau senda, saya mungkin memperbesar sesuatu tetapi semua itu mempunyai mesej yang penting

Viktor Kachaka banyak membuat persembahan dalam bentuk tradisi rakyat Afrika, walaupun lagu-lagunya adalah berbentuk moden. Memperbesar-besarkan sesuatu dan bergurau senda dalam komunikasi untuk menyampaikan mesej adalah sebahagian daripada tradisi rakyat Afrika.

Fokus utama lagu popular beliau yang berjudul It Is True ialah memecut di jalan raya dan kemalangan dengan bas mini. Mesej dalam lagu ini ialah semua orang patut berhati-hati di jalan raya. Tentang perkara-perkara yang mungkin berlaku ketika anda berada dalam kenderaan. Lagu ini juga memaparkan isu rasuah dan rompakan. Di penghujung lagu ini, sebuah kemalangan telah berlaku dan pada masa itulah orang ramai mula berkata “It Is True” (Itu Adalah Benar).

Di dalam lagu popular beliau ini, sebelum beliau memberikan peringatan mengenai keselamatan di atas jalan raya, beliau bercerita mengenai seseorang yang berada di atas jalan raya dan apa yang telah berlaku kepadanya. Orang Afrika perlu dirujukkan kepada sesuatu yang telah berlaku terlebih dahulu sebelum mereka bersedia untuk mendengar peringatan. Rentak lagu ini amat berbentuk rentak Afrika.

Victor juga bercakap mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh para artis di Zambia yang tidak mempunyai industri muzik mereka sendiri. Ahli muzik terpaksa untuk melakukan segala-galanya termasuklah mencipta lagu sendiri, menulis lirik sendiri, membuat proses rakaman sendiri dan menjadi pengurus sendiri. Selepas siap merakam lagu, anda sendiri yang terpaksa menjualnya. Kami memerlukan industri muzik supaya saya dapat fokus kepada apa yang saya lebih tahu iaitu mencipta lagu dan merakamnya. Biarkan orang lain membuat kerja yang selebihnya.

Victor berharap industri muzik di Zambia akan diwujudkan dalam masa terdekat ini dan beliau berhasrat dapat melihat perubahan yang positif dalam masa 2 hingga 3 tahun ini seperti:

1. Akta Hak Cipta dilaksanakan sepenuhnya. Sebelum ini beliau telah ternampak pita kaset lagunya datang dari Tanzania sebagai pita kaset cetak rompak dan dijual di jalanan. Seperti yang anda dapat lihat dalam gambar di atas, gambar di atas ialah kulit depan pita kaset lagunya yang telah ditandatangan terlebih dahulu. Beliau akan menandatangani setiap kulit gambar pitanya sebelum dijual supaya beliau dapat melihat sama ada pita kaset itu adalah yang asli atau bukan. melalui Akta Hak Cipta ini, orang ramai akan mula sedar mengenai isu cetak rompak ini.

2. Sekarang ini sudah diwujudkan Majlis Seni Kebangsaan (National Art Council).

3. Dalam masa terdekat ini akan ada majlis anugerah untuk ahli muzik di mana majlis ini tidak pernah diadakan selama hampir 10 hingga 15 tahun.

Miriam Stockley, Artis Berbakat Besar

Miriam Stockley telah dilahirkan pada 15 April 1962 di Johannesburg, Afrika Selatan. Beliau ialah seorang penyanyi British yang banyak dipengaruhi oleh muzik Afrika dari negara asal beliau. Beliau telah berkahwin dengan Rod Houison. Mereka mempunyai dua orang anak iaitu Carly Houison dan Leigh Brandon Houison.

Pada usia 11 tahun, Miriam dan kakaknya yang bernama Avryl telah membentuk sebuah kumpulan yang dipanggil Stockley Sisters. Tidak lama kemudian beliau telah berpindah ke London untuk menyambung kerjaya muzik beliau. Di sana, beliau telah menyumbangkan suara untuk beberapa buah album dan iklan televisyen.

Semasa sekitar lewat tahun 80-an dan 90-an, Miriam telah bekerja sebagai penyanyi upahan (session singer) untuk produksi UK yang bernama “Stock, Aitken and Waterman”. Miriam telah muncul dalam album nyanyian Kylie Minogue dan Jason Donovan. Bersama-sama dengan rakan penyanyinya yang bernama Mae McKenna, Miriam telah mendapat kredit di atas sumbangannya dalam produksi nyanyian UK “Stock, Aitken and Waterman” sekitar tahun 80-an.

Miriam Stockley juga turut menyumbangkan suaranya dalam Pertandingan Lagu Eurovision United Kingdom (United Kingdom’s Eurovision Song Contest) untuk beberapa persembahan. Persembahan yang paling mendapat perhatian ialah dengan penyanyi Emma pada tahun 1990 dan dengan penyanyi Katrina dan The Waves semasa mereka memenangi pertandingan itu di Dublin pada tahun 1997.

Pada tahun 1991, Miriam telah menjadi sebahagian kumpulan tarian Praise di mana lagunya yang berjudul Only You mendapat tempat keempat di dalam Carta UK. Selepas itu, beliau telah menjadi penyanyi utama untuk kumpulan Adiemus bersama-sama dengan Karl Jenkins.

Miriam sepanjang kerjayanya telah menyanyikan lagu latar untuk beberapa buah filem termasuklah lagu utama dalam albumnya iaitu Rose Royce song yang berjudul Wishing on a Star. Lagu ini telah dimasukkan di dalam filem The 10th Kingdom.

Salah satu lagu beliau yang berjudul Perfect Day telah dijadikan lagu tema untuk program kanak-kanak di televisyen BBC yang bertajuk Dunia Peter Rabbit dan Rakan-rakannya (The World of Peter Rabbit and Friends). Program ini telah berjalan selama 4 tahun iaitu dari tahun 1992 hinggalah ke tahun 1995. Lagu beliau yang berjudul Perfect Day telah dihasilkan oleh Colin Towns dan semenjak itu telah dikenali secara tidak langsung sebagai Theme for the Lake District oleh peminat fanatik rancangan ini.

Miriam Stockley juga turut muncul sebagai penyanyi dalam beberapa program sekolah BBC, dan yang paling terkenal sekali ialah program Look and Read.

Pada Disember 2006, beliau telah terlibat sebagai penyanyi solo dan sebagai penyanyi bersama (co-singer) bersama-sama dengan Mike Oldfield dalam program jelajah German Nokia Night of the Proms. Program jelajah ini mengandungi 18 konsert. Tidak lama kemudian beliau telah melancarkan album solonya yang ketiga bertajuk Eternal pada tahun 2006 yang mengandungi koleksi lagu klasik.

Sepanjang kariernya sebagai penyanyi dan vokalis, Miriam Stockley telah menghasilkan 3 buah album solo iaitu yang bertajuk Miriam pada tahun 1999, Second Nature pada tahun 2003 dan Eternal pada tahun 2006.

Sebagai seorang penyanyi yang serba boleh, selain menjadi penyanyi utama, beliau juga turut menjadi penyanyi latar (Backup Singer) iaitu di dalam persembahan Freddie Mercury & Montserrat Caballé di Barcelona pada tahun 1988 untuk lagu The Golden Boy. Persembahan Brian May untuk lagu Back to the Light pada tahun 1992. Persembahan Mike Oldfield di konsertnya yang bernama Mike Oldfield The Art in Heaven Concert Live in Berlin untuk lagu Moonlight Shadow. Persembahan Queen di dalam konsertnya yang bernama The Freddie Mercury Tribute Concert dan persembahan Atlantis vs Avatar yang bertajuk Fiji.

Tidak ada komentar: